Thursday, August 7, 2014

Surendran: Surat tunjuk sebab kepada Khalid mengikut prosedur

Adam Abu Bakar | Aug 7, 14 9:51am

Amat menakjubkan apabila Khalid tetap enggan berundur walaupun selepas parti beliau sendiri telah mengumumkan keputusan untuk menggantikan beliau.

PETALING JAYA: Naib-Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran menyatakan bahawa surat tunjuk sebab terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah sah dan mengikut prosedur.

Menurutnya, sebelum ini, dalam satu jawapan yang dihantar oleh Khalid kepada Lembaga Disiplin PKR, Khalid telah menjelaskan bahawa surat tunjuk sebab yang dihantar oleh PKR tidak spesifik dan cacat.

“Kritikan Khalid itu langsung tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, prosedur PKR hanya memerlukan tuduhan terhadap seseorang anggota parti dinyatakan dengan jelas di dalam surat tunjuk sebab dan ia telah pun dilakukan.

Katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Serai, tuduhan yang terkandung dalam surat bertarikh 5 Ogos 2014 menyatakan bahawa Khalid telah mengeluarkan kenyataan media pada 22 Julai 2014 yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat untuk mencalonkan Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

“Oleh itu tidak timbul soal keraguan atau tiada butir-butir relevan seperti yang didakwa Khalid. Bahkan, surat tersebut memberi beliau peluang untuk menjelaskan tindakan beliau, seperti yang diperlukan mengikut keadilan asasi (natural justice).

“Tidak ada keperluan untuk menyatakan klausa spesifik dalam perlembagaan parti di dalam surat tunjuk sebab seperti yang didakwa beliau,” jelasnya lagi.
Ujar Surendran lagi, berkenaan kedudukan Menteri Besar Selangor, ia amat menakjubkan apabila Khalid tetap enggan berundur walaupun selepas parti beliau sendiri telah mengumumkan keputusan untuk menggantikan beliau.
“Ini bercanggah dengan kebiasaan dan amalan asas parti politik dalam demokrasi moden. Bahkan, pendirian beliau tidak menghormati parti dan beliau wajib menerima keputusan parti dan meletakkan jawatan,” katanya.

Pada 6 Ogos, Khalid telah menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin PKR bertarikh 5 Ogos 2014.

Di dalam jawapan Khalid, beliau telah menolak surat tunjuk sebab itu atas alasan ianya tidak mengandungi secara jelas dan spesifik semua tuduhan yang dikenakan terhadap beliau dan juga tidak menyatakan klausa perlembagaan parti yang mana telah beliau langgar.

“Apabila surat tunjuk sebab ditujukan kepada seseorang, ianya harus memenuhi beberapa syarat iaitu dijelaskan secara spesifik tuduhan-tuduhan dan pelanggaran-pelanggaran yang dilakukan oleh tertuduh,” jelasnya.

Sumber FMT

Ada baiknya kalau Khalid berundur satu tamparan yang hebat. Kalau sudah pucuk kepimpinan PKR sendiri yang menolaknya, lalu di mana lagi Khalid boleh  bersandar.

Secara logiknya daripada PAS mempertahankan Khalid lebih baik PAS mengangkat di kalangan mereka sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Khalid sekaligus akan memperkukuh politik PAS di Selangor.
 

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway

No comments: