Friday, February 28, 2014

MCA: Beri peluang Chew bela penduduk Kajang

Pengundi DUN Kajang harus memberi peluang kepada calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun berkhidmat di situ daripada memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya berniat memenuhi keinginan politiknya, kata  Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Menurutnya, Chew yang juga naib presiden MCA dan bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sentiasa turun padang bagi mendengar rintihan dan masalah penduduk tempatan.
  
"Chew merupakan seorang pemimpin yang peramah dan sedia berkhidmat untuk rakyat berbanding Anwar yang begitu sombong dan mengarahkan kerusi DUN Kajang dikosongkan semata-mata untuk beliau bertanding dan menjawat jawatan sebagai menteri besar.
  
"Ketika lawatan saya di kawasan Kajang, penduduk di sini marah dengan tindak tanduk Anwar yang mengarahkan (bekas ADUN Kajang) Lee Chin Cheh melepaskan jawatan... ini tidak boleh diterima pengundi di Kajang.
  
"Ini juga menunjukkan beliau (Anwar) tidak menghormati penduduk di Kajang," katanya kepada pemberita di Kajang hari ini.
  
Terdahulu, Liow bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat pusat perniagaan Kwan Tung dan bertemu wakil pertubuhan bukan kerajaan komuniti Cina dari sekitar DUN Kajang.
  
Liow berkata Chew yang terkenal dengan komitmen bekerja sehingga ke peringkat umbi telah banyak membantu dalam menyelesaikan masalah yang hadapi penduduk Kajang.
  
"Walaupun pembangkang mencaci dan merendahkan usaha beliau, Chew tetap menitikberatkan kebajikan rakyat. Niat murni dan semangat bekerja ini harus dipuji berbanding Adun pembangkang hanya bising dan cakap kosong.
  
"Sekiranya Chew dipilih, beliau boleh membawa isu dan masalah yang  dihadapi rakyat ke DUN. Saya berharap Chew diberi peluang untuk mengimbangi DUN Selangor," katanya.
  
Pilihan raya kecil DUN Kajang akan diadakan pada 23 Mac berikutan penyadangnya Lee meletakkan jawatan secara tiba-tiba pada 27 Januari lepas.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mac sebagai hari penamaan calon.
  
Selain Anwar dan Chew, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA), Datuk Mohd Zaid Ibrahim telah mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas di DUN Kajang.
  
- Bernama

No comments: