Thursday, January 8, 2015

Serangan Terhadap Charlie Hebdo Mungkin Berkait Tindakan Provokasinya Sendiri – Dr Mahathir


Serangan terhadap pejabat majalah satira Perancis, Charlie Hebdo di Perancis semalam berkemungkinan disebabkan tindakan majalah itu sendiri yang gemar membuat provokasi terhadap agama Islam.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sering kali terdapat tindakan Charlie Hebdo tidak menghormati orang Islam dan sering mempersenda Nabi Muhammad SAW melalui lukisan karikatur.

“Apakah perlunya mereka mempermainkan Nabi Muhammad sedangkan mereka tahu ini menyakitkan hati orang Islam. Kita menghormati agama mereka dan mereka mesti menghormati agama kita,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan projek One Soul One Quran di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas serangan tiga orang bersenjata api melepaskan tembakan di pejabat Charlie Hebdo di Paris semalam menyebabkan 12 orang terbunuh dan tiga lagi cedera parah.

Dr Mahathir berkata, secara umumnya, provokasi oleh mana-mana pihak sekalipun tidak harus dilakukan kerana masyarakat perlu hormat-menghormati antara satu sama lain meskipun berbeza agama dan bangsa.

Bercakap secara umum, Dr Mahathir berkata terdapat juga dalam kalangan bukan Islam yang takut kepada agama Islam dan membayangkan Islam sebagai agama yang tidak bertimbang rasa dan bengis akibat pelbagai paparan dalam internet misalnya keadaan kekecohan di Timur Tengah.

“Kalau mereka faham ajaran al-Quran itu sendiri, mereka tidak akan berasa takut kepada agama Islam atau orang Islam,” kata beliau.

“Mereka suka membuat karikatur mengenai Nabi Muhammad. Ini provokasi. Walaupun orang Islam tidak harus membunuh tetapi sudah tentu ada kalangan orang Islam yang agak begitu marah dan mereka membuat tindakan sebegitu.

“Apa niat mereka mempermainkan Nabi Muhammad sedangkan mereka tahu ini menyakitkan hati orang Islam. Hanya kerana mereka rasa selamat dan kuat maka mereka boleh buat apa sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program “One Soul One Quran” di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Dr. Mahathir berkata, tindakan akhbar berkenaan yang mencetuskan provokasi tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa.

“Saya tidak halalkan perbuatan membunuh ini. Bukan saya menyokong perbuatan membunuh. Tetapi kita harus ingat kalau kita sengaja provok orang dan reaksi mereka kita tidak boleh tentu. Sepatutnya tidaklah, tetapi ada orang yang begitu marah. Inilah yang berlaku.

“Menghina nabi dan sebagainya tidak harus dibuat. Mungkin pegangan mereka kepada agama sudah luntur tetapi kita dalam masyarakat manusia yang bertamadun kita harus menghormati kepercayaan orang lain,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai projek One Soul One Quran, Dr Mahathir yang juga penaung projek itu berharap ia akan memberi lebih kefahaman kepada orang bukan Islam mengenai agama Islam itu sendiri.

Projek yang diasaskan Islamic Information & Services Foundation berpangkalan di sini serta disokong pelbagai pihak lain itu, merupakan satu usaha membantu menangani masalah salah faham tentang mesej al-Quran dan ajaran Islam yang sebenar.

Sebanyak sejuta naskhah al-Quran akan diedarkan kepada orang ramai di negara ini mulai bulan ini.

BERNAMA


Posted via Blogaway Jals

No comments: