Thursday, January 15, 2015

Membidas Kenyataan NGO Pro BN Oleh Mohd Aziz


Kenyataan Pakatan NGO Pro BN tidak berasas – Mohd Azis

KUALA LUMPUR, 15 Januari 2015 – Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pakatan NGO Pro BN berkenaan kegagalan kepimpinan Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal di Kedah adalah kenyataan yang tidak berasas dan lebih bersifat peribadi, jelas Ketua Pemuda Umno Semporna, Mohd Azis Jamman.

Menurut Azis, kepimpinan Shafie sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kedah ketika itu tidak pernah gagal malah kejayaan kepimpinannya lebih terserlah di Kedah dalam menyatukan Umno Kedah sehingga Umno kembali berkuasa memimpin selepas Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) dan pada keseluruhannya Umno berjaya memenangi rakyat di Malaysia disebabkan kejayaan BN yang cemerlang di luar Bandar.

Kejayaan BN merampas Kedah daripada Pakatan Pembangkang (PP) membuktikan bahawa sokongan dan kepercayaan orang-orang Melayu di Kedah terhadap Umno dan BN sudah kembali. Beberapa parlimen yang merupakan kubu kuat PAS dan PP di Kedah seperti Sik,Baling,Padang Terap,Pendang,Kulim-Bandar Bharu,Merbok dan Jerai berjaya dirampas kembali ke tangan UMNO selain mengekalkan parlimen yang dimenangi pada 2008.

“Justeru itu, saya melihat tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan kenyataan bahawa kegagalan kepimpinan Shafie di Kedah ini adalah bersifat peribadi, tidak berasas dan tanpa fakta.

“Sinergi kepimpinan yang telah dilakukan Shafie telah terkesan di hati rakyat, kerana walaupun beliau bukan berasal dari Kedah, namun atas sifat kepimpinannya yang bertanggungjawab dan sentiasa turun padang merasai denyut nadi rakyat, membuatkan rakyat sendiri sedar dan membuka mata untuk memilih kepimpinan yang betul,” katanya.

Menurut Azis lagi, walaupun dalam kesibukan Shafie sebagai Menteri Kabinet dan menguruskan hal ehwal Umno Sabah, namun beliau tidak pernah mengabaikan tugas yang digalas sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kedah ketika itu dan sentiasa memberikan komitmen yang terbaik dalam mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN sehingga berlaku peralihan pimpinan PP kepada BN pada PRU-13 dengan kemenangan.

Sementara itu, membidas lagi kenyataan Pengerusi badan NGO itu, Mohd Dzuliqyan di dalam New Daily Express Sabah, Azis menyatakan perletakan jawatan Shafie sebagai pengerusi perhubungan Umno Kedah ketika itu adalah kerana misinya untuk memenangi hati rakyat Kedah kepada BN dan Umno telah berjaya dan memberi peluang kepada orang lain untuk meneruskan kejayaan itu. Beliau memegang jawatan itu untuk sementara adalah sebagai misi bagi membantu Umno negeri selepas kekalahan pada pilihan raya umum 2008.


Posted via Blogaway Jals

No comments: