Dr M dakwa parti politik makin korup
1:00PM Dec 5, 2014
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor mendakwa sejak kebelakangan ini parti politik makin korup berbanding ketika zamannya walaupun mengakui gejala itu wujud dalam sektor kerajaan dan swasta ketika itu.
Ini kerana, katanya, ada ahli politik atau individu ingin memimpin sesebuah parti politik percaya ia peluang untuk membuat duit atau mendapatkan kontrak jika terjun dalam bidang itu, lapor Sinar Harian hari ini.
"Masa (zaman) saya (dahulu) pun ada juga rasuah. Kita tak boleh nafikan kewujudan rasuah di mana-mana, dalam kerajaan, sektor swasta. Tetapi parti politik kebelakangan ini makin korup kerana kepercayaan kalau jadi ahli politik (atau) dapat jadi pemimpin dalam parti politik, terutama parti yang berkuasa, ada peluang buat duit.
“(Mereka ini) bukan (sertai politik) pasal nak berjuang (tetapi) boleh dapat kontrak, boleh dapat macam-macam,” katanya seperti dilapor oleh akhbar itu hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Sinar Harian berhubung Indeks Persepsi Rasuah 2014 yang meletakkan parti politik sebagai institusi dianggap paling korup, diikuti dengan polis dan kakitangan kerajaan.
Dalam laporan itu juga, bekas presiden Umno itu turut mendakwa ada di kalangan ahli politik hari ini sanggup membelanjakan wang untuk dipilih memegang jawatan.
Laporan itu turut menyebut, Dr Mahathir mengakui sukar untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan bukti kukuh mengenai salah laku rasuah dalam kalangan orang politik.
Tak akan cerita
Ini kerana, kata bekas presiden Umno itu dalam laporan itu, individu atau pihak yang terlibat dengan kegiatan itu korup tidak akan menceritakan pembabitan mereka.
"Dia tak nak pergi mahkamah. Sebab itu susah nak dapat maklumat cukup untuk dakwa,” katanya dipetik.
Laporan itu juga menyebut, Dr Mahathir menegaskan mengenai kepentingan aspek pencegahan rasuah di samping menahan dan mendakwa individu yang melakukan rasuah.
Dalam laporan tu, beliau berkata terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan rasuah seperti memendekkan tempoh memberi kelulusan dalam sesuatu projek selain memastikan proses itu jelas.
"Kalau proses ini mempercepatkan perkhidmatan kepada orang ramai, ia akan kurangkan rasuah. Dulu masa saya ambil alih jadi Perdana Menteri, bangunan tidak boleh dibina di Kuala Lumpur sebab permintaan tidak dilayan dengan cepat dan proses itu kadang-kadang mengambil masa sampai dua, tiga tahun.
“Jadi untuk percepatkan proses biasanya dihulur rasuah. Itulah yang jadi masalah. Tetapi kalau kita pendekkan masa itu dan lebih terbuka, saya fikir ia akan kurangkan rasuah," katanya dipetik.
Sumber Malaysiakini
Posted via Blogaway Jals