Tun Dr Mahathir Mohamad memberi nasihat kepada para pemimpin jangan memandang rendah kemampuan rakyat Malaysia untuk bangkit menentang pemimpin dan kerajaan yang korup. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 April, 2014.
Pemimpin diingatkan supaya tidak memandang rendah terhadap kemampuan rakyat Malaysia menjatuhkan kerajaan yang korup sama seperti di negara Timur Tengah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata, sejarah raja dan diktator di Timur Tengah membuktikan kuasa rakyat mampu menjatuhkan pemimpin sehingga menggunakan tindakan keras dan ganas.
"Rakyat Malaysia belum tahu cara yang ganas.
"Mereka mungkin menggunakan pilihan raya untuk memperbetulkan keadaan tetapi janganlah kita terlalu yakin yang mereka akan terus berlembut," katanya dalam tulisan bertajuk "Mereka yang berkuasa" di blognya www.chedet.cc hari ini.
Katanya, perkara ini tidak mustahil akan berlaku di negara ini kerana sejarah Melayu membuktikan rakyat pernah bersatu dan bertindak secara ganas menjatuhkan pemimpin zalim.
"Sultan Mahmud dibunuh walaupun tabiat orang Melayu tidak menderhaka kepada raja," katanya.
Namun menurut Dr Mahathir, senario politik negara sehingga kini masih tidak sanggup untuk menasihati pemimpin kerana takut dimarahi atau dipandang serong.
Katanya, ini kerana kebiasaannya ramai menyokong dan memuji apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin yang berkuasa; sama ada ikhlas menyatakan pendapat atau cuma mengangguk dan mengiakan apa sahaja yang disukai oleh yang berkuasa.
Menurut Dr Mahathir, orang sekeliling pemimpin yang sepatutnya memberi nasihat dilihat hanya membawa kesan buruk kerana tidak berani menyuarakan teguran sehingga menimbulkan kebencian rakyat.
"Tanpa teguran yang berani oleh mereka maka akan lebih buruklah prestasi pihak berkuasa.
"Kemarahan orang akan meningkat menjadi kebencian," katanya.
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin semalam menggesa Putrajaya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dan pembangunan demi memajukan kehidupan kaum Melayu.
Beliau yang memegang jawatan itu dari 1984 hingga 1991 semasa zaman pemerintahan Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu melakukan penyelidikan dan membetulkan semula dasar supaya ekonomi negara dapat dimajukan.
"Kerajaan sepatutnya mencari cara serta jalan penyelesaian untuk menangani masalah ekonomi di negara ini.
Menurut Daim, beliau bukanlah bukan anti-kerajaan ketika mengulas tentang kepincangan menteri kewangan dalam mentabdir urus sistem perbelanjaan negara.
"Saya bukan bermusuh dengan kerajaan, saya cuma anti dengan dasar kerajaan yang sudah lompong dan tidak betul.
"Ini isu yang serius. Rakyat harus tahu bahawa dasar yang diamalkan kerajaan tidak memberi faedah serta manfaat kepada rakyat, malah ia membebankan rakyat daripada segi peningkatan perbelanjaan ekonomi seharian," katanya seperti dilapor portal berkenaan. – 23 April, 2014.
No comments:
Post a Comment