Wednesday, March 27, 2013

Adakah golongan gay & lesbian perlu dibenci dan disisihkan?

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Suka ataupun tidak suka, kita terpaksa mengakui bahawa golongan gay dan lesbian ini memang wujud walaupun mereka beragama Islam. Jadi bagaimana kita hendak berdepan dengan orang seperti ini, adakah kita perlu membenci, menyisihkan, atau mencaci mereka? Bagaimana cara terbaik untuk kita berdepan dengan mereka ini?

Jawapan: Apa yang saya katakan sebelum ini, itu adalah hukum asas di dalam permasalahan ini. Membaca hukum adalah tanggungjawab kami sebagai orang yang mempunyai ilmu agama. Hukum perlu disampaikan dan tidak boleh disembunyikan, sebab sabda Nabi di dalam hadis,
من كتم علماً ألجمه الله بلجام من نار
“Barangsiapa yang menyembunyikan ilmu, Allah SWT akan kekang dia dari tali kekang daripada api neraka.” Namun begitu, kami tidak menghukum batang tubuh seseorang individu. Contohnya mengatakan “kamu di neraka”, “kamu sesat”. Tidak. Ini kerana membaca hukum dengan menghukum adalah dua perkara yang berbeza.

Kita pergi kepada menghukum. Menghukum adalah tugas pihak berkuasa. Adapun kita sebagai masyarakat awam, kita membenci perbuatan tersebut. Adapun terhadap orang yang melakukan perbuatan tersebut, berikut adalah tindakan kita;

Pertama, usaha untuk menasihati. Apabila kita bercakap tentang nasihat, sejauh manakah nasihat itu disampaikan. Siapakah yang telah memberikan nasihat kepada mereka. Saya kira mereka bergerak di dalam negara kita secara bersembunyi. Tidak secara terang-terangan. Mereka ada kelab-kelab mereka yang kita sudah mula dikenalpasti tempat-tempat tersebut, mula ditutup dan sebagainya.

Kedua, setelah menasihati tetapi mereka tidak mahu mendengar, pada ketika itu kita perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka, dan undang-undang ini perlu lebih diperketatkan lagi. Ini keranya ianya jelas bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, bahkan bertentangan dengan semua ajaran-ajaran agama yang lain yang turut tidak pernah memberi pengiktirafan kepada perkahwinan mahupun hubungan sejenis.

Ketiga, memulau mereka yakni membenci mereka setelah tindakan yang sebelum ini tidak diendahkan oleh mereka. Kita membenci kerana Allah, berdalilkan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
من رأى منكم منكرا فليغيره بيده . فإن لم يستطع فبلسانه . فإن لم يستطع فبقلبه .وذلك أضعف الإيمان
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemahnya iman.” (riwayat Muslim)

Cara mengubah dengan hati menurut Imam An-Nawawi adalah mengingkari perbuatan tersebut, yakni kita membenci perbuatan tersebut. Wallahu a’lam.


http://ustazfathulbari.wordpress.com/2013/03/22/adakah-golongan-gay-lesbian-perlu-dibenci-dan-disisihkan/

No comments: