Tuesday, May 19, 2015

Ketengah Isu Culik Sabah Di Mesyuarat Asean, Shafie Apdal



KUALA LUMPUR - Insiden penculikan di pantai timur Sabah merupakan isu yang harus diketengahkan oleh Malaysia di mesyuarat Asean, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Saya berharap kita (Malaysia) yang menjadi pengerusi Asean pada saat ini, perkara seumpama ini (insiden penculikan di pantai timur Sabah) menjadi satu agenda untuk ditekankan," katanya kepada pemberita selepas 'Soft Launch' Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2015 di Sri Pentas TV3, di sini, hari ini.
   
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pihak berwajib di Filipina juga diharap mengambil tindakan tegas bagi mengawal kemasukan rakyat mereka ke Malaysia terutama di Sabah sebagai usaha membanteras pencerobohan sempadan negara.
   
Ditanya mengenai cadangan menghentikan sistem 'barter' atau tukar barang antara penduduk di pesisir pantai timur Sabah dengan penduduk selatan Filipina yang disuarakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang aktiviti jenayah terutama penculikan, Mohd Shafie berkata, setiap tindakan yang bakal diambil perlu diteliti bagi memastikan keberkesanannya.
   
"Keadaan ini (penculikan) sudah berlarutan dalam tempoh yang agak panjang dan ia cukup membimbangkan kita semua kerana kesannya bukan sahaja terhadap industri pelancongan malahan memberi kesan berat kepada masyarakat setempat," katanya. 
   
Insiden penculikan yang berlaku pada malam hari Khamis (14 Mei) menyaksikan seorang wanita dan seorang lelaki diculik oleh empat lelaki menggunakan senjata panjang dan pistol di Restoran Ocean King, di Sandakan.
   
Ia merupakan antara beberapa siri insiden penculikan yang berlaku di Pantai Timur Sabah termasuk penculikan anggota Pasukan Polis Marin, Konstabel Zakia Aliep, pada Julai tahun lepas di Pulau Mabul, Semporna. - Bernama

Klik link, perkara yang berkaitan.

 Penculikan Di Bandar Sandakan Kegagalan Pengerusi Keselamatan Negeri Sabah, Musa  


No comments: