Friday, April 5, 2013

Rizab Antarabangsa BNM Berjumlah RM431.3 Bilion

KUALA LUMPUR 5 April - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia BNM) berjumlah RM431.3 bilion (AS$139.7 bilion) setakat 29 Mac 2013.

Paras rizab itu mengambil kira pelarasan suku tahunan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing. Jumlah itu memadai untuk membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan adalah 4.6 kali hutang luar negeri jangka pendek, kata Bank Negara. Rizab antarabangsa BNM terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$126.8 bilion), rizab Tabung Matawang Antarabangsa (AS$900 juta), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.9 bilion), emas (AS$1.9 bilion) dan aset rizab lain (AS$8.2 bilion).

Keseluruhan aset Bank Negara, termasuk rizab antarabangsa, berjumlah RM478.51 bilion pada 29 Mac, kata Bank Negara dalam satu kenyataan.

Aset selain rizab antarabangsa termasuk kertas kerajaan Malaysia (RM2.19 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM26.70 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM9.37 bilion) dan aset-aset lain (RM8.97 bilion). Modal dan liabilitinya terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), dana rizab am (RM28.36 bilion), mata wang dalam edaran (RM70.37 bilion), deposit institusi kewangan (RM209.41 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM5.41 bilion), deposit-deposit lain (RM4.22 bilion), kertas Bank Negara (RM135.21 bilion), peruntukan Hak Pengeluaran Khas (RM6.25 bilion) dan liabiliti lain (RM19.16 bilion).

No comments: