Wednesday, April 10, 2013

Lebih Banyak Kekayaan Dapat Dijana Jika BN Diberi Mandat

IPOH 9 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata lebih banyak kekayaan dapat dijana untuk dikongsi pelbagai kaum di negara ini jika Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat pada pilihan raya umum ke-13.

Katanya melalui falsafah kesederhanaan, kerajaan BN melalui perkongsian kuasa yang mewakili pelbagai kaum, berjaya memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni sekaligus ekonomi dapat berkembang dengan pesat.

"Akan ada lagi yang terbaik. Kami telah memberikan sekian banyak. Dengan mandat kukuh yang diberikan kepada kerajaan, kami boleh melakukan yang lebih baik lagi pada masa akan datang. Saya boleh menjanjikan itu pada anda...saya tanya pada diri saya sendiri apa lagi yang kaum Cina mahukan?

"Mereka mahukan ini...mereka mahu keselamatan, mereka mahukan keharmonian. Apa lagi yang mereka mahukan? Mereka mahu kerajaan yang adil dan saksama," katanya ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari perdana menteri bersama pertubuhan bukan kerajaan Perak di Dewan Tokong Tow Boh Keong di sini hari ini.

Dipetik Bernama,beliau berkata semua itu akan dapat dilaksanakan jika BN terus diberikan kepercayaan dengan mandat yang lebih besar.

Perdana menteri menjelaskan bahawa kesederhanaan yang menjadi amalan kerajaan BN ialah kunci kepada kelangsungan dan kejayaan negara selain perkongsian kuasa pelbagai kaum yang dicerminkan melalui kesepakatan parti-parti dalam gabungan itu.

"Bayangkan anda mempunyai sebuah parti yang terdiri daripada mereka yang mempunyai falsafah dan ideologi yang bertentangan atau ekstrem. Adakah anda fikir mereka boleh membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan berdaya maju?

Jawapannya ialah mereka tidak mungkin mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan berdaya maju. Sebab itulah sebagai rakyat Malaysia kita mesti tolak ekstremisme.Jika anda percaya kepada kesederhanaan, sokonglah BN," katanya.

Katanya sejak 55 tahun lepas, kerajaan BN membuktikan ia berjaya membawa Malaysia menjadi sebuah negara membangun dengan stabil, manakala agenda transformasi nasional yang dilaksanakan mulai empat tahun lepas turut membawa perubahan dan kemajuan kepada negara.

http://klpos.com/pru13/51812-lebih-banyak-kekayaan-dapat-dijana-jika-bn-diberi-mandat


No comments: