Thursday, June 26, 2014

Pergolakan Pengurusan Petronas

MYMASSA | DIALOG DEWASA, KRITIK BERASA
25 June 2014
Apa Lagi CEO Petronas Mahu? @najibrazak
MymassaVoice
Tiba-tiba di kotak minda teringat kepada salah satu bait dalam Gurindam 12 karangan Raja Ali Haji.
Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela. Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.
Hendak marah,
dahulukan hajat. Hendak dimulai, jangan melalui. Hendak ramai, murahkan perangai.
Mungkin artikel di bawah ini menjadi sebab musabab kenapa tiba-tiba teringat kepada gurindam lama tersebut.
Petronas kecam birokrat kerajaan

Oleh FAUZI JAAFAR
ekonomi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Jun - Petroliam Nasional Bhd., (Petronas) membidas campur tangan golongan birokrat dari dalam kerajaan yang disifatkan menyukarkan syarikat itu membuat keputusan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata, Petronas bukanlah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) kerana syarikat minyak negara itu mengamalkan kecekapan dan meritokrasi untuk setanding dengan syarikat minyak global.

Beliau berkata, keputusan yang dicatatkan oleh Petronas setiap tahun menunjukkan bahawa mereka telah melaksanakan tanggungjawab untuk kekal berdaya saing di peringkat global.
"Adalah terlalu sukar untuk membuat kerja dengan jujur. Awak menghabiskan masa melakukan tugas lain daripada kerja hakiki.

"Keputusan kewangan telah menunjukkan keadaan sebenar... ia amat baik. Tidak seperti orang luar (yang menjadikan sesuatu perkara sukar) dan juga orang daripada kerajaan-birokrat. Campur tangan birokrat menjadikan sesuatu perkara menjadi susah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan akhbar perniagaan mingguan berbahasa Inggeris The Edge keluaran 23-29 Jun 2014.

Wawancara yang bertajuk ‘Adakah Kami Tidak Berminat Pada Kecekapan’ itu bagi mengulas khabar angin yang Shamsul Azhar akan meletak jawatan.

Dalam wawancara itu, beliau menjelaskan bahawa sebahagian daripada transformasi Petronas adalah untuk menjadikan syarikat minyak negara itu model baharu dunia korporat Malaysia dari segi profesionalisme.

Mengulas lanjut, Shamsul Azhar berkata, DNA Petronas adalah, kurangnya campur tangan kerajaan, akan membolehkan Petronas bertindak secara profesional.

"Pada masa yang sama mereka (kerajaan) mahukan Petronas menjadi sebuah syarikat minyak global yang setara dengan Exxonmobils dan Shell, dan kami mahu menjadi seperti itu. Tetapi Shell dan Exxonmobils tidak banyak diganggu oleh kerajaan mereka,’’ katanya.

Beliau juga menjelaskan, dalam Akta Pembangunan Petroleum (PDA) telah menyebutkan dengan jelas - minyak dan gas adalah milik semua rakyat Malaysia. Ia tidak menyebut minyak dan gas adalah milik bumiputera semata-mata.

"Ia menyebut rakyat Malaysia, jadi ia boleh milik kerajaan, boleh juga kepada pembangkang, dan sesiapa sahaja...kami (Petronas) ini adalah penjaga.

"Setakat ini, bos saya (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak banyak mencampuri urusan Petronas, tetapi orang di sekeliling beliau yang campur tangan. Bolehkah awak boleh bayangkan masalah yang saya alami,’’ katanya.

Beliau berkata, pada 2010 Petronas menyusun semula struktur semua organisasinya, termasuklah komposisi lembaga pengarah dengan memasukkan mereka yang berkebolehan.
"Orang bercakap yang saya menyingkirkan kakitangan kerajaan dengan membawa masuk bukan Melayu, membuka Petronas yang menjadi milik orang Melayu kepada orang bukan Melayu. Adakah kami tidak berminat pada kecekapan? Inilah perkara susah yang saya hadapi.

"Petronas perlu membentuk diri menjadi organisasi profesional, tetapi pada masa sama saya ditarik dalam politik, campur tangan oleh pihak-pihak berkepentingan, oleh agenda yang ketinggalan zaman,’’ jelas beliau.

Beliau juga mendedahkan beberapa syarikat seperti Labuan (Shipyard) yang memerlukan lesen fabrikasi dan kerajaan meminta Petronas membantu kerana mereka mempunyai limbungan.
Katanya, Petronas telah membantu syarikat itu dengan memberikan lesen dengan syarat akan ada proses bida dan tender akan ditawarkan di peringkat serantau. Tetapi selepas mendapat lesen, syarikat itu mahukan peruntukan pula.

"Saya orang Melayu dan saya bangga... awak fikir saya tak akan bantu kaum saya? Sudah tentu saya mahu bantu mereka, tetapi dengan cara yang lebih sesuai, bukannya melalui pemberian dan suapan,’’ katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140624/ko_01/Petronas-kecam-birokrat-kerajaan#ixzz35djyeQLb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

*Apa pandangan pembaca?


Gambar dari The Mole


Posted via Blogaway

No comments: