Friday, March 14, 2014

MH370: Laporan terbang empat jam dari lokasi terakhir dikesan tidak benar

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menafikan sebuah laporan media yang mengatakan pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas berkemungkinanterbang selama empat jam daripada lokasi dan waktu terakhir ia dikesan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata laporan The Wall Street Journal (WSJ) itu tidak benar.

“Laporan itu tidak tepat. Pesawat itu akhir sekali dikesan pada 1.07 pagi yang menunjukkan semuanya normal,” kata Hishammuddin semasa satu sidang media di Hotel Sama-Sama hari ini.

Hishammuddin berkata pihak pengeluar enjin pesawat Rolls Royse dan pihak Boeing turut menafikan laporan tersebut.

“Rolls Royce dan Boeing berada di sini di Kuala Lumpur untuk bekerja dengan pihak MAS dan pihak penyiasatan  sejak Ahad. Isu  ini tidak pernah dibangkitkan.

“MAS telah meminta Rolls Royce dan Boeing tentang laporan itu dan mereka berkata  ia tidak tepat,” katanya.


Menurut laporan WSJ, penyiasat penerbangan dan para pegawai keselamatan percaya pesawat itu berada di udara untuk jumlah masa lima jam termasuk sejam daripada lokasi terakhir ia berlepas.

Ia berdasarkan data yang dimuat turun secara automatik dan dihantar oleh enjin pesawat Boeing 777 yang merupakan sebahagian daripada program peyelenggaraan dan pemantauan rutin syarikat itu.

Masa penerbangan sebanyak lima jam selepas berlepas dari Kuala Lumpur bererti pesawat itu mampu terbang dengan jarak tambahan kira-kira 2,200 batu nautika. Ia boleh terbang sehingga  Lautan Hindi, sempadan Pakistan atau Lautan Arab, bergantung kepada kelajuan pesawat tersebut.

WSJ turut mengesahkan bahawa juruterbang boleh mematikan transponder, iaitu alat yang memancarkan isyarat pergerakan pesawat.

Laporan itu berkata pihak penyiasat keganasan Amerika Syarikat sedang menyiasat kemungkinan juruterbang pesawat itu atau individu lain yang berada di atas pesawat itu mematikan transponder untuk mengelakkan radar pesawat itu dikesan.

Walaubagaimanapun, persoalan ke manakah pesawat itu menghala dan mengapa ia terbang untuk waktu yang lama tanpa menghidupkan transponder, telah menyebabkan pelbagai teori dikemukakan oleh para penyiasat.

Seorang pegawai yang terlibat dengan penyiasatan itu berkata salah satu teori yang disiasat ialah kemungkinan pesawat itu dialihkan "dengan niat untuk menggunakan pesawat itu kemudian, untuk satu tujuan yang lain."

Sistem pemantauan enjin pada pesawat itu dibekalkan oleh pembuat enjin, Rolls Royce yang secara berkala akan menghantar maklumat berhubung  keadaan enjin, operasi dan pergerakan pesawat serta kemudahan di darat.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelenggaraannya, Penerbangan Malaysia menghantar data enjin secara langsung untuk dianalisa oleh Rolls -Royce.

Sistem ini mengumpul data dari dalam pesawat  777 dengan prestasi enjin berkembar Trent 800 itu.

Menurut laman web Rolls -Royce, data tersebut diproses secara automatik "supaya perubahan kecil pun  boleh dikesan."

Data enjin tersebut sedang dianalisa untuk membantu menentukan laluan penerbangan pesawat selepas transponder berhenti berfungsi.

Pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang, jam 2.40 pagi pada 8 Mac lalu.

Sejumlah 239 penumpang dari pelbagai negara termasuk anak kapal berada di dalam penerbangan tersebut.

Berita mula diterbitkan pada: Mac 13, 2014 19:09 (MYT)

No comments: