Sunday, March 17, 2013

Daulat Sultan Overbeck, Tulah Sultan Sulu (Bahagian I)

“SEPERTI Belanda minta tanah” memperihalkan ketamak-halobaan Syarikat Hindia Timur Belanda (Verenigde Oostindische Compagnie atau VOC) menjarah tanah Melaka selama lebih 183 tahun. Peribahasa baru “seperti Sulu jual tanah” boleh menggambarkan sikap lintah darat Kesultanan Sulu dalam serah jual tanah Borneo Utara seluas 29,388 batu persegi yang kini menjadi bahagian timur negeri Sabah.

Tuntutan buruk siku Sultan Sulu telah bermula sejak 1921 sehingga kini setelah 135 tahun usia Triti 1878 antara Sultan Sulu dan Baron de Oveberbeck serta bergilir pemiliknya daripada Syarikat Borneo Utara British (SBUB) kepada United Kingdom Great Britain sehingga Sabah merdeka bersama Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

‘Kesultanan Sulu’ sekarang sebenarnya adalah ‘Sultan tanpa negara’ apabila menyerahkan kedaulatan kepada Amerika Syarikat melalui Perjanjan Carpenter 1915 dan kini merdeka sebagai provinsi Filipina. Lebih awal lagi pada Protokol Madrid 1885, kepulauan Sulu diiktiraf sebagai kedaulatan Sepanyol sementara Britishmemperoleh hak terhadap Borneo Utara.
Berbanding Sabah adalah lebih strategik untuk menuntut kemerdekaan ibu negara ‘KeSultanan Sulu’ di Jolo bersama wilayah asal yang lain iaitu Sulu, Basilan, Palawan, Tawi-Tawi dan Zamboanga yang kini menjadi Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) di sebelah barat daya Filipina.

Jurai keturunan Sultan Sulu selepas Sultan Jamalul Kiram II yang mangkat tanpa waris pada 1936 sudah tidak disahkan taraf diraja oleh Republik Filipina melalui Presiden Manuel Quezon. Presiden Diosdado Macapagal mengiktiraf Sultan Esmail Kiram (1950-1972) sementara Presiden Ferdinand Marcos menyambung pengiktirafan kepada anakanda baginda Sultan Mahakuttah Kiram (1974-1986) semata-mata untuk kepentingan politik Manila terhadap wilayah Sulu dan Sabah.

Sejak 1920-an Sultan Sulu telah beberapa kali cuba bermuslihat memungkiri janji termasuk untuk menyemak dan menginterpretasi semula Triti 1878, menggunakan khidmat agen Nicasio Osmena dan Calixto Leon untuk menjual Borneo Utara kepada SBUB pada harga AS$15 juta, mempengaruhi senat dan menyerahkan hak tuntutan kepada Filipina. Osmena dan Leon kemudian telah memperdaya dengan menjual surat kuasa Sultan Sulu kepada Dr Stanislas Lazovert yang mendaftarkan Syarikat Pembangunan Borneo di Panama untuk menuntut Borneo Utara.

Sehingga kini terdapat lebih 20 orang mendakwa sebagai ‘Sultan Sulu’ dan menuntut Sabah walaupun mereka sama ada berkewarganeraan Filipina atau Malaysia. Soalnya siapakah sekarang yang beraja di mata dan bersultan di hati? Teks asal triti daripada Sultan Borneo (Brunei) pada 1877 dan Sultan Sulu setahun kemudian masih terpakai dengan beredarnya cakerawala, matahari dan bulan yang sama walau ‘Sultan Sulu’ telah bertukar orang. Sabah secara sejarah dan undang-undang adalah sebuah wilayah yang bebas daripada romantisme ‘bumi orang Sulu’.

Triti daripada Sultan Borneo yang Melantik Gustavus Baron de Overbeck sebagai Maharaja Sabah (Borneo Utara) dan Raja Gaya dan Sandakan, 1877 adalah seperti berikut:
Kepada seluruh negara di muka bumi ini yang ada kaitannya dengan perkara ini, beta Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab, Sultan Borneo mengirim salam kepada semua.
Bahawasanya beta berasa perlu untuk menganugerahkan kepada sahabat beta yang setia serta yang dikasihi, Baron Gustavus de Overbeck dan Alfred Dent Esquire, bahagian tertentu negeri di bawah kekuasaan beta yang terdiri daripada seluruh bahagian utara Pulau Borneo dari Sungai Sulaman di sebelah pantai barat ke Teluk Maludu dan ke Sungai Paitan dan kemudiannya seluruh bahagian pantai timur sehingga ke Sungai Sibuku yang terdiri daripada daerah Paitan, Sugut, Bangaya, Labuk, Sandakan, Kinabatangan dan Mumiang dan tanah yang lain sejauh hingga ke Sungai Sibuko sehingga meliputi wilayah Kimanis dan Binoni, wilayah Pappar dan wilayah Teluk Gaya dan Teluk Sapanggar dengan semua tanah daratan dan pulau yang menjadi sebahagian daripada kawasannya dan begitu juga Pulau Banquey bagi balasan tertentu yang dipersetujui antara kami. Dan bahawasanya Gustavus Baron de Overbeck tersebut ialah ketua dan satu-satunya sahaja wakil sah Syarikatnya di Borneo.

Dengan yang demikian, maka ketahuilah semua yang ada bahawa beta, Sultan Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab hendak menamakan dan melantik Gustavus Baron de Overbeck sebagai Pemerintah Tertinggi wilayah-wilayah yang tersebut di atas dengan gelaran Maharaja Sabah (Borneo Utara) dan Raja Gaya dan Sandakan dengan kuasa hidup dan mati ke atas penduduknya, dengan segala hak mutlak ke atas harta yang terletak hak kepada beta bagi isi bumi negeri ini dan hak untuk melupuskan harta itu dan juga hak terhadap pengeluaran hasil bumi negeri ini sama ada daripada jenis galian, tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan dan dengan hak untuk membuat undang-undang, membuat wang, mewujudkan tentera darat dan tentera laut, mengenakan cukai kastam ke atas perdagangan dan perkapalan dalam dan luar negeri dan cukai dan yuran lain ke atas penduduknya sebagaimana yang dilihatnya sebagai baik atau perlu, berserta dengan segala kuasa dan hak lain yang biasanya dijalankan dan dimiliki oleh pemerintah berdaulat dan yang dengan ini beta wakilkan kepadanya dengan kerelaan beta sendiri.
Dan beta menyeru kepada seluruh negara asing yang telah beta wujudkan persetiaan dan persahabatan serta perikatan supaya mengakui bahawa Maharaja tersebut sebagai diri beta sendiri di wilayah-wilayah tersebut dan menghormati kuasanya di wilayah itu dan jika sekiranya berlaku kematian atau persaraan dari jawatan oleh Maharaja tersebut maka orang-orang yang sewajarnya dilantiknya sebagai pengganti dalam jawatan pemerintah tertinggi dan Gabenor Besar wilayah Syarikat di Borneo hendaklah demikian juga menggantikan jawatan dan gelaran Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan, dan segala kuasa yang dinyatakan di atas hendaklah terletak hak padanya.

Termaktub triti ini yang diperbuat di Istana Brunei pada 29 Disember 1877.
Triti daripada Sultan Sulu yang Melantik Gustavus Baron de Oveberbeck sebahagai Dato‘ Bendahara dan Raja Sandakan, 1878.

Kepada seluruh negara di muka bumi ini yang ada kaitannya dengan perkara ini, beta Sultan Mohammad Jamalul Alam ibni Al-Marhum Muhammad Fadhl, Sultan Sulu dan wilayah-wilayah tanggungannya bagi pihak beta, waris-waris dan pengganti beta dan dengan persetujuan dan nasihat datu-datu dengan ini membenarkan dan menyerahkan kepada Gustavus Baron de Overbeck dan Alfred Dent Esquire serta waris-warisnya dan kongsinya dan penggantinya dan walinya sampai selama-lamanya sekalian perintah dan kuasa yang beta punya atas sekalian jajahan-jajahan dan tanah-tanah yang tertakluk kepada beta di tanah besar Pulau Borneo dari Sungai Pandasan di sebelah barat sampai sepanjang semua tanah-tanah di pantai sebelah timur sejauh Sungai Sibuku di sebelah selatan yang termasuk sekalian jajahan-jajahan di pantai Sungai Pandasan dan Kinabatangan dan Memiang serta sekalian lain-lain jajahan-jajahan yang terdiri daripada daerah Paitan, Sugut, Bangaya, Labuk, Sandakan, Kinabantangan dan Mumiang serta sekalian lain-lain jajahan-jajahan dan pesisir di sebelah selatannya itu di pantai Teluk Darvel sampai Sungai Sibuku bersama-sama semua pulau dalam lingkungan tiga liga laut.

Dengan yang demikian, maka ketahuilah semua yang ada bahawa beta, Sultan Mohammad Jamalul Alam ibni Al-Marhum Muhammad Fadhl, Sultan Sulu hendak menamakan dan melantik Gustavus Baron de Overbeck sebagai Pemerintah Tertinggi wilayah-wilayah yang tersebut di atas dengan gelaran Dato‘ Bendahara dan Raja Sandakan dengan kuasa hidup dan mati ke atas penduduknya, dengan segala hak mutlak ke atas harta yang terletak hak kepada beta bagi isi bumi negeri ini dan juga hak terhadap pengeluaran hasil bumi negeri ini sama ada daripada jenis galian, tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan-haiwan dan dengan hak untuk membuat undang-undang, membuat wang, mewujudkan tentera darat dan tentera laut, mengenakan cukai kastam ke atas perdagangan dan perkapalan dalam dan luar negeri dan cukai dan yuran lain ke atas penduduknya sebagaimana yang dilihatnya sebagai baik atau perlu, berserta dengan segala kuasa dan hak lain yang biasanya dijalankan dan dimiliki oleh pemerintah berdaulat dan yang dengan ini beta wakilkan kepadanya dengan kerelaan beta sendiri.

Maka dengan ini, beta menyeru kepada seluruh negara asing yang telah beta wujudkan persetiaan dan persahabatan serta perikatan dan kepada sekalian datu, bangsawan, gabenor, pembesar dan rakyat beta supaya mengakui bahawa Dato‘ Bendahara tersebut sebagai diri beta sendiri di wilayah-wilayah tersebut dan menghormati kuasanya di wilayah itu dan jika sekiranya berlaku kematian atau persaraan dari jawatan oleh Dato‘ Bendahara tersebut maka orang-orang yang sewajarnya dilantiknya sebagai pengganti dalam jawatan pemerintah tertinggi dan Gabenor Besar wilayah Syarikat di Borneo hendaklah demikian juga menggantikan jawatan dan gelaran Dato Bendahara dan Raja Sandakan serta segala kuasa yang dinyatakan di atas hendaklah terletak hak padanya.

Termaktub triti ini yang diperbuat di Istana Sulu pada 22 Januari 1878.

http://wargamarhaen.blogspot.com/2013/03/daulat-sultan-overbeck-tulah-sultan.html#more




No comments:

Post a Comment

Terima Kasih...Atas Komen Saudara/i.