Monday, February 25, 2013

Pengalaman Penulis Bernama Di Tanjung Labian

LAHAD DATU : Semasa penulis berkunjung ke Kampung Tanjung Labian, kira-kira 140 kilometer dari sini, kelihatan sekumpulan penduduk sedang sibuk menguruskan sesuatu di dalam pondok perigi yang menjadi sumber bekalan air utama penduduk kampung itu.

Ketika berjalan ke arah mereka sambil memberi salam, jelas kelihatan kesangsian pada wajah mereka, mungkin kerana mereka tidak mengenali penulis dan jurugambar Bernama berikutan kedatangan kami juga secara tiba-tiba dan tanpa temu janji.

Namun keadaan itu tidak menghairankan lebih-lebih lagi Kampung Tanjung Labian cuma terletak kira-kira tiga atau empat kilometer dari Kampung Tanduo, lokasi kira-kira 150 penceroboh yang mengaku Askar Diraja Kesultanan Sulu dari Selatan Filipina, sedang dikepung pihak berkuasa Malaysia.

Tiga hari sebelum itu juga, tiga wartawan asing beserta anggota parti politik pembangkang cuba memasuki kawasan Operasi Sulu melalui laut dari kampung berkenaan namun berjaya dikesan dan ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Selepas memperkenalkan diri dan menjelaskan tujuan kedatangan kami, barulah kemesraan mula tergambar di wajah mereka termasuk Mahmood Mallang, ketua kampung yang berkulit cerah, berkopiah putih dan memakai kemeja T putih nipis, yang terus mengajak kami duduk bersembang di bawah rumahnya yang terletak tidak jauh dari perigi.

Bukan setakat itu, kedatangan kami pada waktu petang itu turut disambut dengan sajian minuman sejuk dalam tin yang mungkin baharu dikeluarkan daripada peti sejuk, hasil projek tenaga elektrik solar kerajaan bernilai RM132 juta melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Beberapa rumah di kampung ini sudah menerima bekalan elektrik sejak dua minggu lalu. Sebelum ini, kira-kira 400 penduduk kampung ini bergantung penuh kepada sumber elektrik dari set janakuasa mini yang dibeli sendiri oleh penduduk yang mampu.

"Di kampung ini sahaja terdapat kira-kira 20 set janakuasa digunakan penduduk. Jadi setiap malam apabila janakuasa dihidupkan, kampung ini memang diselubungi bunyi bising dari bunyi set janakuasa ini," kata Mahmood, 72.

Bagaimanapun, katanya suasana bising itu akan berlalu tidak lama lagi apabila kesemua penduduk menerima bekalan elektrik dari sumber tenaga solar dan proses pemasangan wayar dari tiang elektrik ke rumah dan pemasangan meter sedang dilakukan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd.

Malah, kata Mahmood mesin pam air perigi sedalam 80 kaki yang digali sendiri penduduk sebagai sumber bekalan air utama sejak lebih 20 tahun lalu juga sudah menggunakan tenaga elektrik untuk mengepam air dari perut bumi sebelum ditakung menggunakan beberapa buah tangki untuk kegunaan penduduk.

"Sebelum ini, kami mengepam air keluar dari perigi ini menggunakan alat pam tangan. Selepas itu, pihak Yayasan Sabah (sebuah agensi kerajaan negeri) membekalkan kami dengan pam elektrik yang berfungsi melalui penggunaan set janakuasa. Kini pam ini berfungsi menggunakan tenaga elektrik solar. Terima kasih kepada kerajaan," katanya.

Menurut Mahmood?terdapat tiga buah kampung lagi di Tanjung Labian iaitu Kampung Tanjung Batu, Kampung Lok Sambuang dan Lok Buani dan empat buah sekolah rendah di situ turut mendapat nikmat daripada sistem bekalan elektrik solar berkenaan.

Bagi Bakri Bantunan, 42, seorang nelayan sepenuh masa di Tanjung Labian, yang dalam proses menyambung bekalan elektrik ke rumahnya, kemudahan itu bukan sahaja amat bermakna kerana ia bakal menerangi rumahnya 24 jam malah penting baginya sebagai nelayan.

"Selepas ini, bolehlah saya membuat ais batu secara kecil-kecilan sama ada untuk dibawa ke laut atau menyimpan ikan supaya tahan lama sebelum pemborong tiba untuk mengambilnya. Sebelum ini, sumber ais kami ialah dari Felda Sahabat 16 yang agak jauh dari sini," katanya ketika ditemui sedang membaiki pukatnya di pantai Tanjung Labian.

Menurut Bakri, yang sudah seminggu tidak turun ke laut berikutan insiden pencerobohan di Kampung Tandou itu, untuk mendapatkan bekalan ais batu di Felda Sahabat 16 mereka boleh menaiki bot selama 30 minit atau berkenderaan darat sejauh lebih 20 kilometer.

Katanya?sebelum ini, khususnya pada musim banyak ikan, biasa berlaku ikan hasil tangkapannya dan nelayan lain busuk kerana kekurangan bekalan ais namun dengan adanya bekalan elektrik 24 jam, kejadian seperti itu boleh dielakkan.

Muhammad Gabril, 19, seperti penduduk kampung lain, juga berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan kemudahan elektrik solar kepada penduduk kampung itu yang baginya tentu mendatangkan begitu banyak kebaikan dan kesenangan.

Dia yang meminati sukan bola sepak berkata biasanya bekalan elektrik ke rumah penduduk kampung cuma sehingga jam 10 malam kerana set janakuasa akan dimatikan pada waktu berkenaan jadi dia tidak dapat menonton siaran bola sepak selepas masa itu.

"Sebelum ini, saya biasa pergi menonton siaran bola sepak ke rumah jiran-jiran. Bagaimanapun dengan adanya bekalan elektrik (24 jam) ini, saya boleh menonton siaran bola sepak di rumah sendiri pada bila-bila masa," katanya ketika baru balik dari laut dengan tangkapan kira-kira 30 kilogram ikan tamban.

Begitupun, Muhammad yang juga seorang pekebun masih mengharapkan agar kerajaan juga membekal bekalan air bersih ke Tanjung Labian pada masa akan datang agar mereka tidak selamanya bergantung kepada air perigi dan air hujan untuk keperluan harian.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih...Atas Komen Saudara/i.